Permulaan Kuala Lumpur
Permulaan Kuala Lumpur

Sebelum pertengahan abad ke-19, Kuala Lumpur masih diliputi oleh hutan yang belum diterokai. Pada tahun 1857, pembesar Melayu, Raja Abdullah, telah meminjam 87 orang Cina Fui Chiu daripada kakandanya untuk membuka lombong bijih timah di Ampang. Tetapi hanya 18 orang daripada mereka terselamat daripada serangan penyakit dan binatang buas. Kemudian kakandanya menghantar kumpulan kedua, kira-kira 150 pekerja Cina, untuk membantu dalam kerja perlombongan bijih timah. Antara peneroka awal adalah dua orang saudagar Cina bernama Hiu Siew dan Yap Sze yang telah memulakan perniagaan berdekatan dengan pertemuan dua sungai, iaitu Sungai Klang dan Gombak. Dua tahun kemudian, hasil bijih timah yang pertama dari Kuala Lumpur akhirnya telah dihantar ke Klang.
Apabila bijih timah di sekelilingnya mula diterokai, Kuala Lumpur menjadi semakin makmur. Pada tahun 1861, Hiu Siew dilantik sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur yang pertama.
Pelopor

Terdapat empat pemimpin yang memainkan peranan penting dalam sejarah penempatan
Kuala Lumpur, iaitu Raja Abdullah, Kapitan Hiu Siew, Yap Sze dan Sutan Puasa.
Raja Abdullah
Raja Abdullah merupakan kerabat diraja dari Riau yang diberi hak untuk mentadbir kawasan Klang setelah menjadi menantu kepada Sultan Selangor, Sultan Muhammad Shah. Baginda mangkat di Melaka pada tahun 1869 selepas gagal dalam serangan balas semasa Perang Saudara Selangor.
Kapitan Hiu Siew
Hiu Siew berasal dari Fui Chiu, China dan pernah berniaga di Lukut. Di bawah saranan Sutan Puasa, beliau dan Yap Sze tiba di Kuala Lumpur untuk menjual makanan dan keperluan harian serta menjual beli bijih timah. Mereka merupakan saudagar Cina yang pertama tiba di Kuala Lumpur. Lokasi kedai dan stor mereka dikenali sebagai “Rumah Dagang Bertiga”. Pada tahun 1861, Hiu Siew telah dilantik sebagai Kapitan Cina pertama Kuala Lumpur.
Yap Sze
Yap Sze yang berasal dari Fui Chiu, China, bekerjasama dengan Hiu Siew untuk mengendalikan lombong bijih timah di Lukut. Mereka tiba di Kuala Lumpur berdagang lalu menubuhkan “Rumah Dagang Bertiga”. Selepas itu, beliau pindah ke Kanching dan mengendalikan lombong. Semasa Perang Saudara Selangor, beliau menghantar pembantu untuk menolong Yap Ah Loy. Beliau dibunuh oleh Chong Chong serta anggota dari Ka Ying di Kanching pada 25 Februari 1869. Selepas kematiannya, beliau dipuja sebagai dewa “Sze Si Ya” di Tokong Sin Sze Si Ya Kuala Lumpur.
Sutan Puasa
Sutan Puasa merupakan Kumpulan etnik Mandailing yang berasal dari Sumatera. Apabila Perang Padri meletus di Sumatera pada tahun 1837, beliau berpindah ke Tanah Melayu bersama pengikutnya dan menempat di hulu Sungai Klang. Sebagai ketua orang Mandailing, beliau membina terusan, membuka hutan serta menanam padi dan berniaga di Ampang. Beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Cina di Kuala Lumpur, termasuk membekalkan makanan kepada pelombong, dan membantu Yap Ah Loy dalam peperangan, tetapi kemudiannya menyertai kem musuh. Beliau meninggal dunia pada tahun 1908 dan telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.
Empat pelopor ini berhijrah ke Kuala Lumpur dari tempat yang berbeza dan membantu dalam pembangunan kota ini.
Perang Saudara Selangor(1866-1873)

Fasa Pertama:
Sebelum bercerita tentang perang ini, para tetamu sila perhatikan peta awal Selangor terlebih dahulu. Pada awal Selangor, tiada garis sempadan negara yang jelas, wilayah pemerintahan adalah lima sungai utama Selangor, di mana Sultan akan mewariskan setiap sungai kepada ahli keluarga baginda. Sebagai pentadbir sungai, raja-raja tersebut memerintah orang Melayu yang tinggal berhampiran sungai dan mengawal semua aktiviti ekonomi di kawasan sungai tersebut.
Pada peringkat awal, perlombongan di Selangor diusahakan secara tradisional dan hasilnya terhad. Berikutan kemasukan pekerja Cina, pengeluaran bijih timah mula meningkat pada pertengahan abad ke-19. Kemudian, berlaku persaingan antara pembesar-pembesar Melayu untuk hak memungut cukai, pekerja Cina bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan hak perlombongan, serta berlakunya perebutan takhta dalam kalangan kerabat diraja Melayu selepas kemangkatan Sultan Muhammad pada tahun 1857. Kesemua ini membawa kepada Perang Saudara Selangor dari tahun 1866 hingga 1873. Perlantikan Raja Abdullah sebagai pemerintah Klang menimbulkan rasa tidak puas hati Raja Mahadi, iaitu cucu Almarhum Sultan Selangor sehingga membawa kepada tercetusnya peperangan. Akhirnya, Raja Abdullah telah dikalahkan dan Raja Mahadi mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Klang.
Fasa Kedua:
Selepas Raja Mahadi memerintah Klang, baginda enggan menurut perintah Sultan Selangor. Sultan pula melantik menantunya, Tengku Kudin yang juga merupakan kerabat diraja Kedah, sebagai Wakil Yamtuan Selangor. Selepas kematian Liu Ngim Kong pada tahun 1868, Yap Ah Loy dilantik sebagai Kapitan Kuala Lumpur oleh Raja Mahadi, tetapi ditentang oleh Chong Chong, bekas pengurusnya di Lukut. Chong Chong bersekutu dengan suku Ka Ying dari Kanching menentang Yap Ah Loy, tetapi tidak berjaya. Raja Ismail, anakanda Raja Abdullah, mengadakan pakatan dengan Tengku Kudin dan akhirnya mengalahkan Raja Mahadi.
Fasa Ketiga:
Selepas Yap Ah Loy berkhidmat sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur, beliau menambah bilangan pengikutnya untuk menjaga keamanan serta menjalin hubungan baik dengan Sultan Selangor dan Tengku Kudin. Chong Chong kemudiannya bersekutu dengan Syed Mashhor dari Borneo untuk menyerang Yap Ah Loy pada tahun 1870. Pada mulanya, Yap Ah Loy menang dalam pertempuran di Ampang, tetapi kemudian dikepung di Kuala Lumpur dan melarikan diri ke Klang. Dengan bantuan dari Pahang dan Kedah yang dibekal oleh Tengku Kudin, serta penyokong baru yang diambil dari China, Syed Mashhor akhirnya dikalahkan lalu menamatkan Perang Saudara Selangor. Wakil Yamtuan Selangor, Tengku Kudin, melantik semula Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina.
Peristiwa Sungai Ujong dan Kedatangan Orang Hakka

Negeri Sembilan yang berada di bahagian selatan Selangor, terdiri daripada sembilan daerah, salah satunya ialah Sungai Ujong. Menurut rekod pegawai British, Sungai Ujong yang kaya dengan bijih timah telah menarik kedatangan pelombong Cina untuk bekerja di lombong. Kumpulan kedua pekerja Cina dari Melaka ke Sungai Ujong berasal dari Fui Chiu dan Ka Ying di China, dan merupakan sebahagian daripada kongsi Hai San dan Ghee Hin. Pada masa itu, ketua Hai San merupakan Kapitan Seng Meng Lee, yang dibantu oleh Liu Ngim Kong dan Yap Ah Loy. Pada tahun 1860, konflik tercetus antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar kerana merebut kuasa memungut cukai bijih timah. Kongsi Cina juga berpakat dengan pembesar berbeza. Kapitan Seng Meng Lee, ketua Fui Chiu di Sungai Ujong, akhirnya dibunuh oleh musuhnya dan kemudian dipuja sebagai dewa Sin Si Ya. Perang Sungai Ujong berlangsung selama setengah tahun. Ramai yang terkorban termasuk pelombong Cina.
Kemudian, para tetamu sila perhatikan dua gambar lama yang menunjukkan lombong bijih timah yang awal di Sungai Ujong (kini dekenali sebagai Seremban) dan pandangan luar balai polis di Rasah, Sungai Ujong pada tahun 1878.
Kuala Lumpur pada tahun 1864

Pada tahun 1864, Yap Ah Loy menjemput semangat Seng Meng Lee dari Rasah ke Kuala Lumpur untuk disembah. Pada tahun 1868, Yap Ah Loy menggantikan Liu Ngim Kong dan menjadi Kapitan Kuala Lumpur yang ketiga. Pada masa ini Kuala Lumpur telah mula membentuk penempatan kekal.
Kuala Lumpur pada tahun 1875

Para tetamu yang dihormati, sila alihkan perhatian anda kepada model landskap Kuala Lumpur pada tahun 1875. Model ini dibuat oleh artis Lim Pui Wan.
Pada masa ini, Kuala Lumpur boleh dikatakan sebagai Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Yap Ah Loy, di mana semua urusan pentadbiran Kuala Lumpur dikendalikan oleh beliau seorang. Selepas berakhirnya Perang Saudara Selangor, Kuala Lumpur mula pulih di bawah kepimpinan Yap Ah Loy.
Hiu Siew dan Yap Sze mendirikan tiga pondok (dikenali sebagai Rumah Dagang Bertiga) di kawasan tinggi pertemuan dua sungai untuk menjual makanan dan membeli bijih timah. Mereka membuka jalan untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan kawasan perlombongan. Jalan ini terletak di Jalan Silang, yang kini dikenali sebagai Jalan Tun Tan Siew Sin.
Pasar menjadi pusat kegiatan komersial dan ekonomi Kuala Lumpur pada masa itu. Tatkala Swettenham melawat pasar pada tahun 1875, beliau membuat pemerhatian: “Pasar itu bangsal kayu yang tidak stabil. Di antara pasar dan Sungai Klang, terdapat bangsal yang diperbuat daripada kayu balak dan daun atap, ia dipenuhi dengan orang Cina dan Melayu yang berjudi, tidak kira siang dan malam.” Selain itu, terdapat juga tempat menghisap candu, rumah pelacuran, kedai ubat Cina, kedai peralatan dan kedai runcit di sekitar kawasan itu yang merupakan pusat bandar Ketika itu.
Rumah kediaman Yap Ah Loy terletak di hadapan pasar. Ia merupakan rumah kayu yang terbaik di Kuala Lumpur ketika itu, dan dibina semula dengan batu-bata pada tahun 1884. Rumah tersebut merupakan pusat pentadbiran Kuala Lumpur, tempat untuk Yap Ah Loy bertemu dengan pengikutnya dan membuat keputusan.
Berdasarkan lagenda, Yap Ah Loy mendirikan Fui Chiu Kongsi pertama di tepi sungai berhampiran kediamannya, sebagai tempat berlabuh bagi sesama penduduk kampung yang tiba di Kuala Lumpur.
Para tetamu yang dihormati, pernahkah anda melihat kuil gaya pondok kecil di halaman belakang rumah Yap Ah Loy? Ini adalah tempat yang sangat menarik! Pada zaman awal, kuil ini didedikasikan untuk dewi Guanyin. Pada tahun 1864, Yap Ah Loy menjemput semangat Seng Meng Lee dari Rasah untuk dipuja. Kuil kecil ini kemudiannya dipindahkan dan dibina semula dan menjadi Tokong Sin Sze Si Ya sekarang di Kuala Lumpur. Mengenai tuhan-tuhan apa yang termaktub di kuil ini dan kisah-kisah legenda yang ada, kita akan tunggu dan lihat di bahagian kedua.